Tuesday, September 24, 2013

INTERVENSI AWAL DALAM PENDIDIKAN KHAS

ASPEK-ASPEK DALAM KHIDMAT INTERVENSI AWAL


1.1          Definisi dan Konsep

Intervensi awal didefinisikan sebagai usaha tersusun untuk meningkatkan perkembangan bayi dan kanak-kanak yang mengalami tumbesaran lambat (Fatimah Bivi, 2002). Dunst (1996) menyifatkan intervensi awalan sebagai “to a range of services provided to children, parents and families during pregnancy, infancy and/or early childhood”. 

Program intervensi awalan bertujuan memberi bantuan kepada ibu bapa untuk mengambil langkah tertentu supaya pengesanan dan rawatan lebih awal dapat dilakukan dan mengurangkan keterukan ketidakupayaan, permasalahan atau kecacatan yang dialami oleh individu berkeperluan khas. Menurut Hallahan dan Kaufman (2003),  kebanyakan pendidik dan ahli sains sosial percaya bahawa lebih awal kecacatan seseorang individu dikenal pasti dan diberi program pendidikan yang bersesuaian atau rawatan tertentu, lebih baik penghasilan yang boleh diperolehi oleh seseorang anak berkeperluan khas. Intervensi awal yang intensif bertujuan untuk mengurangkan kesan sesuatu kurang upaya kepada pembelajaran dan mengelaknya menjadi lebih ketara apabila kanak-kanak memasuki alam persekolahan.
 
Program intervensi awalan juga dapat menyediakan sokongan kepada anak dan keluarga dalam pencegahan kepada pertambahan masalah atau keterukan kecacatan yang dialami (Kaiser 2000). Melalui program tersebut bantuan keluarga membuat penyesuaian ke atas anak mereka dapat diberikan. Selain itu, Program Intervensi Awalan juga memberi latihan kemahiran kepada ibu bapa mengikut keperluan anak untuk dikendali di rumah dan membantu keluarga mengenal pasti khidmat sokongan tambahan yang bersesuaian seperti kaunseling, pembantu perubatan atau peruntukan kewangan. Program Intervensi Awalan juga merupakan kaedah paling baik mewujudkan kolaborasi antara ibu bapa dengan kumpulan pelbagai disiplin dan komuniti (Cook, Tessier &  Klein,  1992).
 
1.2          Kepentingan Intervensi Awal

Kajian-kajian menunjukkan bahawa intervensi awal membawa kesan positif kepada kanak-kanak kurang upaya dan yang berisiko tinggi dalam jangka masa pendek dan jangka masa panjang. Di Amerika Syarikat perkhidmatan intervensi awal (3 tahun ke bawah) diwajibkan untuk kanak-kanak yang mengalami perkembangan lewat dan kanak-kanak berisiko tinggi (IDEA, 1990). Mengapa?
·         Intervensi awal memainkan peranan penting dalam melengkapkan kanak-kanak berkeperluan khas dengan kemahiran asas sebelum mereka masuk ke sekolah rendah.
·         Intervensi awal yang komprehensif dan intensif adalah berfaedah kepada keluarga dan masyarakat. Intervensi awal mempunyai impak yang positif kepada persekitaran terdekat kanak-kanak berkeperluan khas. Atas sebab ini juga, setiap individu dalam sesebuah komuniti perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing ke atas kanak- kanak berkeperluan khas (Lerner, 2003).
·         Intervensi awal dapat membantu perkembangan pelbagai kebolehan kanak-kanak. Contohnya, seorang kanak-kanak bermasalah pendengaran yang diajar menggunakan bahasa isyarat secara tidak langsung dapat mempertingkatkan mindanya dan membuka peluang untuk dia berinteraksi dengan kanak-kanak lain.
·         Kejadian masalah lain yang terikat dengan kesukaran awal boleh diatasi melalui perkhidmatan intervensi awal. Contohnya kanak-kanak yang mengalami masalah penglihatan tetapi tidak diberi intervensi awal, mungkin mengalami masalah emosi seperti perasaan kecewa.
·         Intervensi awal juga menawarkan penjimatan wang bagi sesuatu masyarakat. Intervensi awal yang intensif dan berkesan mengurangkan beban penyediaan pendidikan khas pada peringkat sekolah rendah dan menengah. Bilangan kanak-kanak yang memerlukan perkhidmatan pendidikan khas mungkin berkurangan.
Ringkasnya, intervensi awal boleh meningkatkan intelek, meningkatan perkembangan fizikal dan meningkatkan penguasaan bahasa kanak-kanak berkeperluan khas. Intervensi awal yang sistematik menghalang kewujudan masalah lain, mengurangkan tekanan kepada keluarga, dan mengurangkan pembinaan institusi khas. Dengan adanya intervensi awal yang teratur, keperluan untuk pendidikan khas di peringkat persekolahan dapat dikurangkan dan ini menjimatkan perbelanjaan negara yang dikhaskan untuk kemudahan penjagaan, kesihatan dan pendidikan.
1.3          Bentuk intervensi awal yang sesuai
Sama ada memilih intervensi awal secara individu, secara kumpulan kecil atau seluruh kelas bergantung kepada tahap keterukan sesuatu ketidakupayaan.
Terdapat tiga bentuk intervensi awal iaitu;
a)    Berasaskan pusat
Kanak-kanak yang menerima perkhidmatan intervensi awal berasaskan pusat mungkin melaksanakan intervensi di dalam bilik darjah atau di luar bilik darjah. Intervensi awal yang dilaksanakan di dalam bilik darjah memerlukan satu kaedah yang direka khas mengikut keperluan atau ketidakupayaan kanak-kanak. Aktiviti yang sering disediakan dalam konteks bilik darjah adalah seperti terapi cara kerja, terapi fisio, aktiviti bermain, simulasi dan  interaksi tidak formal antara kanak-kanak dan dewasa. Aktiviti berbentuk interkasi yang banyak dapat membantu kanak-kanak dari aspek sosialisasi, tingkah laku dan komunikasi.
Pelbagai pusat samada dari agensi kerajaan atau agensi swasta ada menyediakan perkhidmatan intevensi awal kepada kanak-kanak bermasalah pembelajaran. Program intervensi awal yang disediakan kebanyakan mengikut kategori ketidakupayaan murid. Perkhidmatan intervensi awal di pusat dilakukan oleh kakitangan yang terlatih. Namun begitu, penglibatan ibu bapa adalah sangat digalakkan untuk menyokong program intervensi awal yang dilaksanakan. Penglibatan ibu bapa dalam program intervensi awal di pusat memperlihatkan kewujudan konsep kolaborasi.
b)    Berasaskan hospital


Selain daripada pusat, pihak hospital juga ada menyediakan perkhidmatan intervensi awal. Jenis-jenis intervensi yang terdapat di hospital adalah terapi fisio, terapi cara kerja, terapi pertuturan. Intervensi awal yang dilaksana di hopsital dikendalikan oleh ahli-ahli terapi yang terlatih.

c)    Berasaskan rumah

Bagi sesetengah kes, kanak-kanak disediakan khidmat intervensi awal berasaskan rumah. Keadaan ini khusus kepada kes kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun dan mempunyai kecacatan fizikal atau ketidakupayaan pelbagai. Program berasaskan rumah dapat menyediakan peluang kepada kanak-kanak bersama-sama dengan ahli keluarga dan komuniti setempat perkhidmatan dalam persekitaran utamanya iaitu rumah. Situasi tersebut menjadi fokus kekuatan dan keutamaan kepada ibu bapa dan komuniti sebagai penyedia perkhidmatan utama.
Kebanyakan perkhidmatan intervensi berasaskan rumah menekankan kepada lawatan kakitangan profesional untuk memberi tunjuk ajar kepada ibu bapa cara terbaik mengikut keperluan anak. Tambahan lagi, program intervensi berasaskan rumah adalah berorientasikan anak.
Pendekatan intervensi berasaskan rumah melibatkan penglibatan keluarga. Kanak-kanak dilihat sebagai sebahagian daripada sistem sesebuah keluarga. Apabila ibu bapa dilibatkan dalam proses intervensi, keluarga itu akan menjadi elemen yang mustahak dalam proses pembelajaran kanak-kanak berkenaan. Ini turut memperbaiki interaksi di antara kanak-kanak dengan golongan dewasa. Intervensi berpusatkan keluarga memerlukan komitmen yang tinggi daripada setiap ahli sesebuah keluarga. Secara tidak langsung, pendekatan ini juga mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan dan meningkatkan kefahaman tentang keperluan individu berkeperluan khas. Urutan, tanam kaki di dalam pasir dan berdiri di dalam embun merupakan contoh-contoh intervensi awal berpusatkan rumah yang menggunakan kaedah tradisional. Terdapat juga intervensi awal berpusatkan rumah yang menggunakan kaedah spiritual seperti meminum dan menyapu air yang sudah dijampi, sembahyang hajat dan lain-lain. Penggunaan kaedah spiritual merupakan usaha ibu bapa dan kepercayaan mereka terhadap kuasa Tuhan atau kuasa lain yang boleh membantu anak yang mengalami masalah, kecacatan atau ketidakupayaan.
1.4         Agensi-agensi yang memberi perkhidmatan
a)     Agensi kerajaan
i)      Pusat Perkhidmatan Pendidikan Khas (3PK) dikendali oleh Bahagian Pendidikan Khas, Kementerian Pelajaran Malaysia
ii)       Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) dikendali oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat
ii)      Wisma Harapan dikendali oleh Jabatan Kebajikan Masyakat.
 b)    Agensi bukan kerajaan
i)              Persatuan Kebangsaan Austime Malaysia (NASOM)
ii)             TASPUTRA PERKIM
iii)            NURY
iv)           Cleft Lip and Palate Association of Malaysia
v)            Yayasan Sindrom Down Kiwanis
vi)           Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB)
vii)          Rumah Orang Cacat Convent Bukit Nanas
viii)         Malaysian Care
ix)           Persatuan Kanak-Kanak Cacat Akal Selangor dan Wilayah Persekutuan (YMCA)
Terapi kanak-kanak autisme
Cosmo yang diprogram untuk memberi tindak balas terhadap pergerakan tubuh dan pengaktifan suara memberi harapan baru kepada kanak-kanak autisme. ROBOT bernama Cosmo ini menjadi kawan hampir setiap hari kepada Kevin Fitzgerald yang berusia enam tahun. Kevin adalah seorang kanak-kanak yang berdepan dengan masalah gangguan tumbesaran. Di dalam sebuah klinik di kawasan perumahan di Maryland, Amerika Syarikat, Kevin seakan-akan berasa ragu dengan usaha terbaru untuk merawat simptom-simptom autisme, serebral palsi dan pelbagai gangguan pembesaran menggunakan robotik serta komputer kerja.
Di klinik itu, dia duduk di atas sebuah kerusi untuk melihat robot setinggi setengah meter yang terletak di atas meja di hadapannya. Sambil menekan empat butang berwarna terang berhampiran kaki robot tersebut, Kevin kemudian mengarahkan mesin itu berjalan ke arah monitor komputer. Sesekali, dia menjeling robot itu untuk mendapatkan semangat.
Kevin menunjukkan tanda-tanda awal mengalami masalah pembelajaran ketika berusia 18 bulan. Dia kemudiannya didiagnosis menghidap masalah tumbesaran dispraksia."Saya berasa seakan-akan mendapat strok. Otaknya berfungsi, cuma tubuhnya tidak melakukan apa yang mahu dibuatnya," ujar ibunya, Patty Fitzgerald. Beberapa kemahiran tertentu seperti menyebut konsonan, memadankan sebab dan akibat atau memahami konsep relatif seperti apa yang lebih baik atau lebih cepat, menjadi amat sukar buat Kevin untuk menguasainya. Tetapi pada tahun lalu, android kecil berwarna biru dan kuning bernama Cosmo itu menawarkan sedikit harapan. Robot tersebut diprogram untuk memberi tindak balas terhadap pergerakan tubuh, pengaktifan suara dengan panel empat butang itu meniru ciri kawalan. Cosmo turut direka untuk mengajar tingkah laku asas dan kemahiran fizikal. Ia boleh melambaikan tangan, menyebut kembali frasa dan bergerak apabila ditekan. Cosmo juga berupaya menepuk tangan dan memberikan pembayang untuk membantu kanak-kanak menyempurnakan tugasan-tugasan khas. Sebagai satu hasil kejuruteraan, Cosmo cukup ringkas. Ia cuma memiliki sembilan sambungan (sendi) yang boleh bergerak. Jumlah itu mungkin tidak mengujakan peminat robot. Namun, potensi Cosmo untuk membantu kanak-kanak telah menarik perhatian pusat perubatan terkemuka di Minnesota, Mayo Clinic.
Para pengkaji menjalankan ujian perubatan fasa kedua untuk melihat sama ada robot itu mampu membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pergerakan atau serebral palsi. Ini termasuklah memusingkan pergelangan tangan dengan lebih cepat berbanding kaedah tradisional. "Ia berjalan dengan baik," kata ahli terapi fizikal dari makmal biokimia dan analisis pergerakan di Mayo Clinic, Krista Coleman-Wood. Memakai sarung tangan yang dipasang dengan alat pengesan, kanak-kanak diminta untuk membuat pergerakan yang meniru atau akan ditiru oleh Cosmo. Aktiviti itu sekali gus membina tisu-tisu otot dan meningkatkan perancangan motor tubuh.
Menurut Coleman-Wood, adalah terlalu awal untuk menyatakan jika kanak-kanak menunjukkan lebih banyak kemajuan dengan robot berbanding terapi fizikal tradisional. Namun, keseronokan sememangnya ada pada robot ini. "Bayangkan mengangkat dan menggerakkan pergelangan tangan secara berulang kali akan membuatkan kanak-kanak mudah bosan. Dengan Cosmo, wujud hubungan kognitif," kata Coleman-Wood. Pereka Cosmo berharap, kejayaan kajian itu akan membawa perubahan besar ke arah terapi yang dibantu oleh robot.


2 comments: