Tuesday, September 24, 2013

PEMULIHAN KHAS: Peranan Guru


Peranan guru biasa dalam Pelaksanaan Pemulihan

 Eee Ah Meng (1998) menyatakan seseorang guru boleh mengendalikan kes-kes ringan sahaja. Oleh itu guru biasa boleh menjalankan aktiviti pemulihan bagi kes-kes ringan sahaja. Ini bermakna bukan sahaja guru pemulihan malah guru biasa juga bertanggung jawab bagi membantu pelajar pemulihan. Pengajaran pemulihan perlu dijalankan secara sistematik supaya pelajar mendapat faedah (Olive 1975).

            Mengikut Eee Ah Meng (1998) terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam pengelolaan sesi pemulihan kelas biasa. Antaranya ialah pengenalpastian pelajar, penganalisisan masalah, perancangan, pengajaran, penilaian dan tindakan susulan. Guru boleh menggunakan pelbagai kaedah bagimengenal pasti pelajar-pelajar yang lambat. Antaranya pemerhatian, ujian dagnostik, soal jawab, kuiz  dan temu bual dengan guru kelas dan ibu bapa.

            Langkah kedua selepas pengenalpastian pelajar ialah penganalisisan masalah. Pemerhatian merupakan salah satu cara menganalisis masalah pembelajaran. Iaitu melalui aktiviti-aktiviti pembelajaran dengan memerhati.Ujian juga merupakan salah satu cara mengenal pasti masalah atau kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar.

            Selepas mengenal pasti pelajar perancangan program pemulihan perlulah dibuat. Perancangan perlulah mengambil kira keperluan-keperluan pelajar iaitu aktiviti aktiviti pembelajaran yang benar-benar boleh mengatasi masalah yang telah dikenalpasti. Pelbagai aspek perlu diambil kira dalam merancang program. Antaranya ialah pembinaan bahan-bahan bantu mengajar dari segi saiz dan rupa.

            Proses pengajaran pula dibuat selepas perancangan pengajaran dilakukan. Pengajaran boleh dilakukan melalui pengajaran kumpulan kecil, pengajaran rakan sebaya dan juga pengajaran individu. Pengajaran dalam kumpulan kecil dijalankan kepada pelajar yang mempunyai masalah yang sama. Ahli-ahli dalam kumpulan kecil ini hendaklah bertukar-tukar kerana pelajar yang lemah Bahasa Melayu tidak semestinya lemah dalam Matematik dan sebaliknya. Manakala bagi pengajaran rakan sebaya, seseorang pelajar yang cerdas boleh membimbing rakan-rakannya yang lambat untuk menjalankan aktiviti pemulihan yang ditetapkan oleh guru. Pengajaran individu pula diberi kepada seseorang pelajar dan dibimbing bagi mengatasi masalah yang dihadapinya dengan menggunakan bahan-bahan bantu mengajar.

            Setelah proses pengajaran dilakukan penilaian perlu dibuat bagi memastikan objektif-objektif pengajaran pemulihan tercapai. Sebagai tindakan susulan, pelajar-pelajar yang berjaya menguasai sesuatu kemahiran akan dipindahkan ke kumpulan yang lain mengikut kebolehannya. Bagi pelajar yang masih belum menguasai kemahiran-kemahiran tertentu mereka akan dirujuk kepada guru pemulihan.

            Ini bermakna perancangan adalah penting bagi memastikan masalah-masalah pelajar yang telah dikenal pasti dapat diatasi. Pelbaagi kaedah dan pendekatan pengajaran dan pembelajaran untuk membantu pelajar-pelajar pemulihan yang tahap kognitif mereka tidak sama dengan pelajar-pelajar yang seusia.Kaedah pengajaran perlu sesuai dengan kebolehan pelajar-pelajar dan tahap pembacaan mereka. Maka secara keseluruhannya perancangan serta kreativiti guru adalah sangat penting agar sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang disampaikan kepada pelajar-pelajar pemulihan adalah lebih sistematik dan juga berkesan.

 

 

 

 

 

 

No comments:

Post a Comment