Pendahuluan
Isu mengenai masalah pemulihan ini
seringkali timbul setiap kali keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)
dikeluarkan. Masalah utama yang dihadapi oleh pelajar ialah dari segi Bahasa
Melayu dan Matematik. Mengikut kenyataan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Noh
Omar pada tahun 2005 seramai 120,000 pelajar sekolah rendah atau 2.2 peratus
daripada jumlah keseluruhan pelajar sekolah tahun 2005 tidak menguasai 2M iaitu
tidak tahu membaca dan menulis. 42,000 daripadanya atau 0.8 peratus pula merupakan
pelajar sekolah menengah.
Ketua Pengarah Pendidikan
(Pelajaran) turut memandang serius masalah 3M ini kerana masa depan murid
terbabit akan terjejas dan mudah terjebak dengan pelbagai aktiviti tidak
bermoral, sekali gus turut menyebabkan remaja terbabit terlibat dengan gejala
sosial. Kementerian Pelajaran juga menyatakan yang akan memasukkan murid yang
mendapat gred D dan E dalam UPSR tahun 2005 ke kelas Pemulihan sebaik sahaja
pelajar tersebut mendaftar memasuki ke tingkatan satu pada Januari 2006.
Berikutan itu kementerian
pelajaran turut memperkenalkan Kelas Intervensi Awal 2M iaitu mengadakan satu
ujian khusus untuk kanak-kanak tahun satu bagi mengetahui tahap kebolehan
membaca dan menulis. Keratan akhbar menyatakan kelemahan dalam Bahasa Melayu,
terutamanya kemahiran menyampaikan idea menerusi penulisan akan menjejaskan
peluang pelajar tersebut untuk menjawab kertas lain pada peringkat Penilaian
Menengah Rendah (PMR) atau Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Walaupun pelbagai usaha
telah dijalankan oleh Kementerian Pelajaran, namun masalah ini masih wujud.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan pelajar ini tidak menguasai 3M di
sekolah rendah. Masalah ini berterusan apabila pelajar melangkah masuk ke
sekolah menengah.
Selain daripada itu masalah juga
timbul apabila guru yang mengajar mengatakan seseorang pelajar itu sebagai bermasalah,
bodoh dan sebagainya. Akibatnya pelajar pemulihan ini terus ketinggalan. Ada
juga guru yang mengatakan itu bukan kerja mereka. Ramai diantara guru seperti
ini beranggapan bahawa tugas pemulihan hanya perlu dilakukan oleh guru khas
pemulihan sahaja. Namun pihak pentadbir juga mengambil pelbagai usaha bagi membantu
pelajar yang bermasalah ini.
Menurut Eee Ah Meng (1998),
masih ada pelajar yang belum mengusai 3M dengan baik di peringkat KBSM.
Tambahnya sekiranya tindakan susulan tidak diambil ia akan mengundang pelbagai
kesan yang negatif. Antaranya pelajar itu akan berasa kecewa, rendah diri serta
hilang dorongan untuk belajar. Apabila usia mereka meningkat, semakin susah
untuk mengatasi masalah pembelajaran mereka. Maka pendidikan pemulihan masih
lagi diperlukan oleh pelajar-pelajar KBSM.
Oleh itu pendidikan pmulihan
ini sangat penting selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara untuk melahirkan
pelajar yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta
sekurang-kurangnya menguasai kemhairan 3M atau kemahiran asas bekomunikasi akan
tercapai bagi mengatasi masalah-masalah ini.
Kerajaan
telah mengambil perhatian kepada masalah pemulihan sejak awal lagi melalui Laporan Jawatankuasa
Kabinet yang telah mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran.Terdapat beberapa
perubahan yang dibuat ke atas Dasar pendidikan negara bagi memastikan sistem
pendidikan berjalan lancar. Di bawah laporan ini penekanan diberikan kepada
pendidikan asas 3M (membaca, menulis dan mengira) Abu Bakar Nordin dan Ikhsan
Othman (2003).
Chua Tee Tee dan Koh Boh
Boon 1992, menyatakan menurut National
Association for Remedial Education (NARE), mendefinisikan pendidikan
pemulihan sebagai memenuhi keperluan keperluan kanak-kanak yang mengalami
kesulitan pembelajaran melalui tindakan – tindakan Pendidikan Khas. Berdasarkan
definisi NARE, kanak-kanak pemulihan berkemungkinan menghadiri kelas khas dalam
sekolah biasa, pusat pemulihan khas atau mengikuti kumpulan yang diundurkan dari
kelas biasa yang diajar oleh guru pemulihan. Ini bermakna pendidikan pemulihan
adalah berbeza dengan pendidikan khas yang mengalami kecacatan otak atau
fizikal.
Buku Panduan KBSR 1982
mendefinisikan pemulihan sebagai ‘proses pengajaran dan pembelajaran yang
khusus untuk murid-murid yang menghadapi masalah atau kesukaran belajar dalam
menguasai satu-satu kemahiran membaca, menulis dan mengira’. Pengajaran
pemulihan merupakan aktiviti – aktiviti yang dijalankan apabila mendapati
seseorang murid itu gagal mempelajari sesuatu kemahiran selepas mengikuti
aktiviti pembelajaran dalam program biasa
maka disini program pemulihan ini adalah bertujuan sebagai menolong
seseorang murid itu untuk menguasai kemahiran berkenaan.
Berdasarkan definsi-definisi
diatas dapatlah disimpulkan pendidikan pemulihan adalah sasaran kepada mana
mana pelajar yang tidak menguasai kemahiran asas 3M tidak kira had umur mereka.
Maka seperti mana program pemulihan dilaksanakan di sekolah rendah, ia juga
perlu dilaksanakan di Sekolah Menengah yang
mempunyai pelajar yang buta huruf.
Jamilah
Ahmad (1999) di dalam bukunya telah menyatakan peruntukan dasar untuk program
pemulihan:
Perakuan 33 (halaman 18):
‘Dengan mengamalkan kenaikan darjah secara automatik,
murid-murid dianggap seolah-olah mempunyai persediaan dan keupayaan yang sama
untuk mempelajari kurikulum yang sama dalam tempoh masa yang sama pula. Akan
tetapi dalam sesuatu kumpulan murid memang terdapat mereka yang lemah yang
mungkin tidak dapat mengikuti kurikulum yang sama itu. Oleh yang demikian bagi
menampung murid-murid yang lemah dalam mata pelajaran yang tertentu, maka
pengajaran pemulihan amat diperlukan....’
(Laporan Jawatankuasa
Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar Pelajaran 1979)
Perakuan 33.1 (halaman19):
‘...Walau bagaimanapun, mereka yang lemah dalam kemahiran
tertentu hendaklah diberi pengajaran pemulihan secara teratur...’
(Laporan Jawatankuasa Kabinet, 1982)
Ini bermakna kerajaan turut
memberikan perhatian yang serius bagi membantu pelajar pemulihan agar mereka
tidak tercicir berbanding rakan sebaya yang lain.
Objektif-objektif Pendidikan Pemulihan
- Menguasai sesuatu kemahiran melalui aktiviti
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kebolehan mereka.
- Mendapat perhatian dan layanan berdasarkan kebolehan dan perkembangan
kognitif mereka.
- Mengurangkan masalah pembelajaran yang
dihadapi.
- Mengembangkan potensi minat terhadap
pelajaran.
- Memastikan pelajar tersebut mendapat peluang yanag sama dalam aktiviti di dalam dan di luar bilik darjah.
- Memupuk semangat keyakinan diri dan berdikari
semasa di dalam kumpulan atau masyarakat dan,
- Memastikan pelajar dapat meneruskan pelajaran
dalam sistem persekolahan biasa disamping mengurangkan masalah keciciran.
No comments:
Post a Comment